Ada beberapa amalan yang dilakukan oleh Rasulullah saw dan sahabat pada malam-malam akhir Ramadan untuk mengisi Lailatul Qadar. Antaranya:
1. Mandi,
berpakaian indah dan berharum-haruman
Diriwayatkan oleh Ibnu Abi `Asim
bahawa Huzaifah pernah mengerjakan qiyam Ramadan bersama Rasulullah dan melihat
bahawa Baginda mandi pada malam itu. Ibnu Jarir pula berkata bahawa sahabat menyukai mandi pada malam-malam akhir Ramadan.
Demikian pula beberapa riwayat daripada sahabat seperti Anas bin Malik dan
ulama pada masa Tabi'in menyatakan bahawa mereka akan
mandi, memakai baju indah dan berharum-haruman apabila berada pada akhir
Ramadan.
Apa yang dilakukan oleh Rasulullah,
sahabat dan Tabi'in ini adalah satu upaya untuk menyambut dan meraikan
kedatangan Lailatul Qadar, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam
itu.
2.
Melaksanakan
solat sunat, iktikaf dan membaca al-Quran.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan
satu hadis daripada Aishah, bermaksud: “Adalah Rasulullah apabila telah masuk 10 akhir daripada
Ramadan, maka Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan
keluarganya dan mengikat pinggangnya.”
Ibadat
yang biasa dilakukan pada malam Ramadan adalah solat
Tarawih dan Witir serta membaca al-Quran. Dalam salah satu hadis yang
diriwayatkan oleh Abu Daud dari Amru bin `Ash bermaksud: “Barang siapa yang solat pada malam Ramadan dan
membaca 10 ayat daripada al-Quran maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang
lalai.”
Solat berjemaah
juga sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan hingga Imam Malik dan Imam
Syafie berkata: “Siapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah pada malam al-Qadar, dia telah mengambil bahagiannya
daripada malam itu.” Ertinya orang yang mengerjakan solat Isyak dan
Subuh saja dianggap telah mendapat sebahagian daripada
Lailatul Qadar, apa lagi mereka mengisinya dengan amalan lain sepanjang
malam itu.
Selain solat dan membaca al-Quran, 10 akhir Ramadan ini biasanya diisi oleh
Rasul dengan beriktikaf di masjid dan tidak
tidur bersama isteri-isterinya. Ini berdasarkan hadis Aishah yang diriwayatkan
oleh Bukhari dan Muslim, bermaksud:”Bahawa Rasulullah beriktikaf pada 10 hari akhir sampai
Baginda wafat.”
3. Memperbanyak
doa.
Rasulullah bersabda
doa adalah otak segala ibadat. Doa juga kunci daripada semua ibadat. Aishah
diperintahkan oleh Rasulullah untuk memperbanyak
doa pada 10 malam terakhir Ramadan.
Dalam satu hadis daripada Aishah diriwayatkan at-Tirmizi, Aishah diajar oleh
Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar.
Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada
malam al-Qadar adalah doa yang meminta
keampunan dan kemaafan daripada Allah. Perkara ini seperti doa yang
diajarkan Rasulullah kepada Aishah. Doanya berbunyi: “Allahumma
innaka afuwun tuhibbul afwa fa' fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya
Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini).”
Pada malam itu Allah akan mengabulkan semua
permohonan dan doa, terkecuali terhadap empat golongan manusia. Ibnu Abbas berkata: “Semua doa pada malam itu
diterima terkecuali doa orang meminum arak, anak yang derhaka kepada ibu bapa, orang yang
selalu bertengkar dan mereka yang memutuskan silaturahim.”
Sumber : http://klikkhas.bharian.com.my
No comments:
Post a Comment